GERBANG

TIPS JUTAWAN

[LAMAN UTAMA] [LAMAN AHLI] [CHAT] [EGOLD][TIPS PENGIKLANAN/PROMOSI] [FORUM] [SOAL JAWAB] [SENARAI GRUP] [SENARAI LAMAN PENGIKLANAN] [CONTOH AYAT IKLAN] [MOTIVASI DIRI] [EBOOK PERCUMA] [TIPS JUTAWAN]

Catatan berikut adalah tulisan Jutawan Internet Malaysia, saudara Irfan Khairi. Penyiaran semula di laman ini adalah dengan ihsan beliau. Anda boleh melayari laman web beliau dengan mengklik pada perkataan Rahsia Internet.com di bawah. Semoga koleksi tulisan beliau ini dapat memberikan anda sumber inspirasi dan semangat untuk meneruskan usaha anda.

Irfan Khairi
Bagaimana Caranya Menghindar Dari JERAT Online SCAM


Salam sejahtera,

Sejak beberapa bulan lepas, nama saya sering di kaitkan dengan skim online yang berteraskan SCAM. Bertujuan untuk menipu orang ramai dalam mengaut keuntungan. Sehingga hari ini, syarikat saya dan Azizi Ali telah mengambil tindakan keatas 2 individu yang melanggar undang-undang hakcipta dan harta intelek dalam kes-kes sebegini. Untuk maklumat lanjut, sila ke http://www.rahsiainternet.com/penting.htm

Berikut adalah 3 tips untuk menghindarkan diri anda dari terkena JERAT SCAM.

1: SCAM atau menipu online sering bertujuan untuk mengaut keuntungan dari mereka yang dalam keadaan terdesak. Kebanyakan SCAM berasas kepada peluang membuat duit. Sekiranya anda berdepan dengan sebarang peluang menjana wang di Internet, Email atau SMS, anda perlu lebih berhati-hati oleh kerana asas SCAM adalah dalam menarik minat mereka yang terdesak inginkan penyelesaian kepada masalah kewangan.

Fikiran anda perlu lebih berhati-hati dan was-was apabila berdepan dengan sebarang skim menjana pendapatan di Internet oleh kerana kebanyakan SCAM lahirnya di situ.

2: Kebanyakan SCAM berasas kepada 'anonymity' iaitu, pengasas SCAM tersebut sama ada individu ataupun syarikat, inginkan maklumat mereka disembunyikan. Mereka bagaikan menyorok di alam siber di mana asal-usul mereka tidak diketahui.

Individu atau syarikat tersebut tidak akan mendedahkan identiti mereka. Maklumat-maklumat penting seperti alamat mereka, cara menghubungi, kewujudan mereka sering dirahsiakan. Anda perlu berhati-hati, sekiranya mereka inginkan segala urusan 100% online. Kewujudan mereka hanya 100% maya. Mungkin ianya 100% SCAM.

3: Akhir sekali, berhati-hati sekiranya peluang yang diberi oleh individu atau syarikat bunyinya amat mudah (too good to be true). Memperolehi sejumlah wang yang besar bukan suatu perkara yang mudah. SCAM sering mewar-warkan bahawa menjana pendapatan adalah amat mudah. Serta, skim tersebut akan menjanjikan pulangan yang tinggi (beribu-ribu ringgit) dengan pelaburan yang rendah (mungkin RM10).

Fikiran mereka sebelum terkena scam mungkin mengatakan "Wang yang dilaburkan kecil... sekiranya tidak berjaya, ianya tidak apa. Sebab saya cuma hilang RM10 sahaja". Bagi pihak individu atau syarikat yang melakukan SCAM pula mengatakan "RM10 adalah jumlah kecil. Kalau mereka (yang terkena) kehilangan RM10 sahaja sudah tentu mereka tak mencari saya. 1,000 orang bayar RM10, saya sudah untung RM10,000!"

Di dunia ini, tiada skim yang wujud di mana anda melakukan sedikit kerja, kemudiannya pulangan berlipat kali ganda akan melimpah ruah kepada anda. Sekiranya ini terjadi, maka, sudah tentu skim-skim tersebut sudah diberitakan di dada akhbar, di berita TV dan media-media yang lain oleh kerana ia dapat membantu masyarakat hidup dengan lebih mewah.

Jangan lupa, SCAM bertujuan untuk menarik mereka yang terdesak inginkan wang. Tumpuan skim-skim scam adalah untuk menarik mereka yang "Inginkan pulangan tinggi, tetapi usaha yang kurang". Mudah-mudahan anda tidak terjerat dalam kategori ini.

SCAM ada di merata-rata dan antaranya amat halus untuk dikesan. Antara nasihat yang paling baik adalah untuk "tepuk dada, tanya selera" - tanya diri anda sendiri. Sekiranya di hati anda terdetik sesuatu skim itu mungkin SCAM, maka, anda perlu berhati-hati. Kajian menunjukkan ramai yang terkena SCAM sebenarnya sebelum menyertai skim/sistem tersebut sudah mempunyai rasa hati (rasa tak sedap hati), tetapi masih terus menyertainya oleh kerana sifat "ingin tahu" yang kuat sama ada skim tersebut adalah penyelesaian kepada masalah kewangan mereka!

Semoga kita lebih berhati-hati dengan JERAT SCAM,

Irfan Khairi
http://www.rahsiainternet.com


Sekiranya artikel ini dapat memanfaatkan anda, ianya mungkin dapat memanfaatkan kenalan-kenalan anda juga. Forwardkan artikel ini sekiranya ia boleh membantu.

Kriteria Usahawan Internet


Salam sejahtera,

Sering saya di tanya, apa yang perlu ada pada seseorang itu untuk berjaya dalam bidang perniagaan Internet. Apakah kriteria seseorang usahawan Internet.

Bila difikirkan, jawapannya tidak jauh lari daripada apakah kriteria seorang usahawan bukan Internet. Kreatif, inovatif, berpandangan jauh, sanggup mengambil risiko, tidak mudah putus asa, bijak membahagikan tugas dan sebagainya menjadi norma bagi kriteria seorang usahawan. Untuk menjadi usahawan Internet yang berjaya, kesemua kriteria yang dimiliki oleh usahawan bukan Internet perlu ada pada diri sendiri.

Namun, apabila dilihat dengan lebih terperinci, terdapat beberapa kriteria tambahan yang perlu ada pada Usahawan Internet untuk berjaya berbanding dengan usahawan bukan Internet. Berikut adalah kriteria-kriteria tambahan yang dimaksudkan:

Aktif dalam pemasaran
Salah satu kebaikan perniagaan di Internet adalah pasaran dunia. Dengan kos yang minima, seseorang itu boleh meniagakan produk atau perkhidmatannya kepada pelanggan serata dunia.

Apa yang perlu diingat juga adalah, apabila anda mengembangkan perniagaan anda untuk mencapai pasaran dunia, pesaing anda juga adalah pesaing-pesaing global. Untuk berjaya, usahawan Internet perlu aktif dalam memasarkan perniagaan Internetnya. Perniagaan menjadi semakin kompetetif oleh kerana anda harus bersaing dengan usahawan-usahawan luar yang berlumba-lumba memberi kualiti terbaik di serata dunia.

Bijak memenuhi peluang pasaran yang ada
Perniagaan Internet di Malaysia masih di tahap yang baru. Terdapat banyak ruang kosong dari segi peluang pasaran yang belum dipenuhi. Ini merupakan satu kelebihan bagi mereka yang bijak mengambil peluang memenuhi kekosongan tersebut untuk memulakan perniagaan.

Tidak seperti negara-negara barat, hampir kesemua kategori pasaran telah dipenuhi dengan laman perniagaan yang berkaitan. Di Malaysia, masih banyak peluang terbuka dan mereka yang bijak memenuhi ruang pasaran tersebut akan berpeluang menjadi ketua kategori perniagaan Internet tempatan.

Pemikiran yang unik
Seseorang usahawan Internet perlu memberi suatu keunikan kepada perniagaannya. Sememangnya perniagaan yang unik adalah penting untuk perniagaan bukan Inetrnet juga, namun, di Internet, ianya adalah lebih penting oleh kerana pesaing anda hanyalah satu klik dari pada anda.

Tidak seperti perniagaan bukan Internet, pesaing anda mungkin berada di bandar lain, dan disebabkan batasan logistik, ianya mungkin sukar untuk mencapai pesaing. Tetapi, di Internet, pesaing anda hanyalah satu klik daripada anda. Untuk mencapai laman web perniagaan pesaing anda, pelawat hanya perlu membuat carian online, dan mereka boleh beredar dari laman anda dalam masa beberapa saat sahaja.

Pendekatan perniagaan yang unik adalah penting untuk memastikan pelawat anda menganggap perniagaan anda adalah penyelesaian kepada masalah mereka. Dengan pendekatan yang unik, anda berpeluang mengetengahkan kelebihan perniagaan anda berbanding dengan pesaing anda seperti mana Domino's Pizza menjanjikan "Penghantaran dalam masa 30 minit atau pizza percuma!" dan Amazon.com menjanjikan pelawat bahawa mereka adalah "Kedai buku terbesar di bumi"

Kesabaran dan kecekalan hati
Oleh kerana kegagalan perniagaan di Internet adalah amat tinggi oleh kerana ramai yang masih tidak faham dengan medium perniagaan era baru ini. Kesabaran dan kecekalan hati dalam meneruskan usaha perlu ada pada setiap usahawan Internet.

Dalam proses membina perniagaan di Internet, terdapat kesukaran yang akan di hadapai. Sebagai usahawan Internet yang berjaya, ambil segala kesukaran sebagai satu cabaran untuk terus memahami perniagaan di Internet. Apa jua benteng yang ada di hadapan, boleh di elakkan dengan mencuba kaedah-kaedah perniagaan Internet tertentu.

Memang tidak dapat dinafikan lagi, di Malaysia perniagaan Internet masih lagi setahun jagung. Pada ketika ini, tiada banyak rujukan perniagaan-perniagaan Internet tempatan yang berjaya boleh di ambil iktibar. Rujukan boleh dilakukan dengan laman-laman web perniagaan antarabangsa.

Di atas adalah beberapa kriteria usahawan Internet yang berjaya.

Untuk berjaya di dalam perniagaan maya, usahawan perlu mengabungkan kriteria-kriteria untuk berjaya di bisnes bukan Internet serta kriteria-kriteria tambahan usahawan Internet. Untuk berjaya dalam apa jua bidang termasuk perniagaan Internet, ilmu pengetahuan adalah yang paling penting. Dalam kes ini, ilmu perniagaan digabungkan dengan ilmu internet.

Irfan Khairi
http://www.rahsiainternet.com


Sekiranya artikel ini dapat memanfaatkan anda, ianya mungkin dapat memanfaatkan kenalan-kenalan anda juga. Forwardkan artikel ini sekiranya ia boleh membantu.

8 Langkah Menjadi Jutawan…
oleh: Irfan Khairi

Langkah 1: Mulanya di fikiran

Kekayaan bermula di fikiran. Jikalau anda berfikiran negatif mengenai kekayaan, maka, ia akan menjadi penghalang mental anda. Lepasi penghalang mental tersebut dengan berfikiran positif tentang kekayaan. "Duit banyak bukannya boleh bawak ke kubur" merupakan salah satu fikiran negatif yang sering diluahkan. Apa kata anda tukar mindset tersebut kepada, "Duit banyak, nanti lebih banyak amal jariah boleh lakukan, walaupun kita sudah ke kubur!"

Sekiranya anda inginkan kekayaan, langkah pertama anda adalah untuk membuang segala fikiran negatif tentang kekayaan. Tembusi benteng pertama yang menjadi penghalang kepada kekayaan- iaitu fikiran anda sendiri. Fikirkan boleh!

Langkah 2: Tetapkan matlamat

Dengan keinginan, anda perlu menetapkan matlamat. Keinginan tanpa matlamat merupakan perbuatan yang sia-sia oleh kerana kita tidak tahu arah hala tuju kita. Bayangkan anda menaiki teksi, tetapi tidak mempunyai matlamat destinasi. Silap hari bulan, anda di tendang keluar dari teksi. Dengan mempunyai matlamat, dalam konteks ini, destinasi, maka anda akan dapat menetapkan satu jalan untuk mencapai matlamat anda.

Matlamat bagaikan suatu peta untuk anda sampai ke suatu destinasi. Tanpa peta yang lengkap, anda pasti akan tersasar dari destinasi anda. Tetapkan matlamat yang tinggi untuk diri anda, namun, matlamat tersebut perlu logik diterima fikiran. Sebagai contoh, memperolehi RM1 juta dalam masa 2 tahun bunyinya tidak logik- amat jarang sekali diperolehi oleh seseorang (namun tidak mustahil). Namun, memperolehi RM1juta dalam masa 10 tahun adalah suatu yang logik diterima fikiran dan sering dilakukan oleh jutawan-jutawan di Malaysia. Bagaimanakah caranya? Ikuti langkah-lankah seterusnya…

Langkah 3: Hendak sejuta daya…

Matlamat tanpa usaha adalah sia-sia. Matlamat tanpa usaha adalah umpama "Angan- angan Mat Jenin". Kekayaan dan kejayaan tidak akan jatuh ke riba kita begitu sahaja. Hendak peroleh wang berjuta? Maka, anda perlu letakkan sejuta usaha untuk merialisasikan impian anda. Tiada jalan pintas dalam mencapai kekayaan- usaha adalah tangga kejayaan.

Dalam memotivasikan diri anda untuk berusaha mencapai matlamat anda, anda perlu memberi komitmen setiap hari dalam mencapai impian anda. Setiap hari, lakukan sesuatu untuk dekatkan anda kepada matlamat anda. Jangan tinggalkan sehari tanpa melakukan sesuatu walaupun usaha tersebut adalah sedikit sahaja. Perkataan kaizen yang berasal dari Jepun bermaksud improvement sedikit demi sedikit. Dengan sikap kaizen inilah Jepun berjaya menjadi negara maju yang disegani seluruh dunia.

Langkah 4: Pengetahuan & ilmu

Pengetahuan merupakan faktor penting dalam membina kekayaan. Tiada jalan pintas dalam memperolehi kekayaan. Dengan pengetahuan yang lengkap dalam sesuatu industri, ini akan memudahkan anda mencapai kekayaan dan kejayaan.

Cara mudah untuk mendalami ilmu industri yang anda kecimpung adalah dengan cara membaca. Tanam sifat rajin membaca. Terdapat berbagai-bagai bahan bacaan di pasaran merangkumi topik-topik tertentu. Dengan mendalami pengetahuan dalam industri anda, anda akan menjadi pakar dalam bidang anda sendiri.

Satu perkara penting dalam mencari ilmu adalah anda tidak perlu reinvent the wheel. Kejayaan telah dicapai dalam semua industri. Apa yang anda perlu lakukan adalah pelajari dari mereka yang telah berjaya. Dengan mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya, anda pasti tidak akan tersasar dari mencapai kejayaan juga.

Langkah 5: Mulakan perniagaan

9/10 rezeki datangnya dari perniagaan. Mereka dari golongan terkaya di Malaysia dan dunia merupakan ahli perniagaan. Amat sukar dan mengambil masa yang lama untuk menjadi kaya sekiranya anda seorang pekerja- namun ianya masih tidak mustahil.

Cuba berjinak-jinak dengan perniagaan. Anda terikat dengan pekerjaan 9-5? Tidak mengapa, anda masih mempunyai masa 5-9! Jikalau anda tidak dapat memulakan perniagaan secara full time, mulakan perniagaan secara part time.

Terdapat berbagai-bagai peluang perniagaan di Malaysia. Namun perlu berhati-hati anda tidak terjerumus dengan perniagaan yang melibatkan penyelewengan serta skim-skim cepat kaya dan piramid.

Anda boleh memulakan pengalaman perniagaan anda dengan membuka gerai, franchais, menyertai perniagaan network, memulakan perniagaan dari rumah ataupun melalui perniagaan Internet- seperti saya! Jangan lupa langkah 3 iaitu pelajari ilmu perniagaan berkaitan dengan bidang anda.

Langkah 6: Perihal kewangan

Dalami perihal kewangan. Untuk berjaya dari segi kewangan, anda perlu dilengkapi dengan ilmu mengenai wang. Ketahui bahawa kekayaan bukan bererti berapa banyak wang anda perolehi sebulan- tetapi, berapa banyak wang anda dapat simpan sebulan. Seseorang yang berpendapatan RM10,000 tetapi berbelanja RM9,000 sebulan sudah tentu tidak sekaya seseorang yang bergaji RM3,000 tetapi berbelanja RM1,500 sebulan. Kekayaan bukanlah berapa banyak anda perolehi, tetapi berapa banyak anda boleh menyimpan.

Konsep penting dalam memahami perihal wang adalah konsep compound interest. Maksudnya, pelaburan wang anda yang menghasilkan faedah, kemudiannya keuntungan faedah serta wang pokok anda itu dilaburkan semula. Dengan menggunakan konsep compound interest, wang anda akan berganda dua kali dalam masa 7 tahun sekiranya faedah yang anda terima adalah 10%. Menurut Robert Kiyosaki, penulis buku Rich Dad, Poor Dad, selain dari memulakan perniagaan, cara mencapai kekayaan adalah melalui pelaburan.

Langkah 7: Lakukan apa yang anda suka

Anda boleh mencapai kekayaan tidak kira dalam apa bidang jua. Satu kesilapan besar yang sering terjadi adalah apabila kita memikirkan bahawa bidang yang kita dalami tidak boleh menjadikan kita kaya. Sering kita fikirkan, industri yang lain boleh memberi pulangan yang lebih tinggi. Dalam buku motivasi klasik Acres of Diomand, penulis mengatakan bahawa senario "the grass is greener on the other side" sering terjadi pada setiap insan. Ini bererti, anda akan sering merasakan industri lain lebih membawa keuntungan dari industri anda. Bidang yang lain lebih memberi kekayaan.

Pada hakikatnya, kekayaan dan kejayaan boleh dicapai tidak kira apa bidang pun. Lakukan sedikit tinjauan- anda pasti akan bertemu kisah mereka yang berjaya dan mencapai kekayaan dalam bidang anda juga!

Langkah 8: Mereka yang berjaya adalah mereka yang sering gagal

Sejarah sering menceritakan kejayaan seseorang sering kalinya dikait dengan kegagalan di masa yang lampau. Ini adalah sememangnya benar oleh kerana mereka yang berjaya pasti mempunyai cerita kegagalan yang boleh dikongsikan.

Perbezaan mereka yang berjaya dan mereka yang tidak, adalah, mereka yang berjaya akan mengambil kegagalan sebagai iktibar. Tidak kira berapa kali kegagalan mengundang, mereka tidak akan berputus asa. Pencipta lampu mentol, Thomas Edison hanya mencapai kejayaan selepas seribu kali mencuba. Apabila ditanya, bagaimana beliau masih boleh berusaha walaupun gagal begitu banyak kali, jawapannya adalah, dia tidak menganggap dirinya gagal. Dia menganggap beliau menjumpai 999 cara yang salah dalam mencipta lampu mentol!


Irfan Khairi adalah penulis buku "Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar" dan speaker dalam bidang membina kekayaan & kejayaan. Untuk Maklumat lanjut, sila lawati www.rahsiainternet.com dan www.irfankhairi.com

9/10 Rezeki Dalam Perniagaan
oleh: Irfan Khairi

Tiada jalan pintas untuk mencapai kekayaan. Namun, apakah cara paling cepat untuk mencapai kekayaan?

Jawapannya amat mudah- perniagaan! Jikalau kita menyemak orang-orang kaya di dunia, hampir semua menjadi kaya melalui perniagaan. Apa yang dikatakan 9 daripada 10 rezeki datangnya daripada perniagaan adalah amat tepat. Seseorang yang bijak dalam pelaburan saham apabila melabur RM5,000 mungkin akan mendapat pulangan 20-30% dari jumlah pelaburan. Namun, seseorang yang bijak dalam perniagaan apabila melaburkan RM5,000 dalam perniagaan sendiri akan mendapat pulangan berpuluh-puluh atau beratus kali ganda dari pelaburan tersebut.

Oleh itu, cara paling cepat untuk mencapai kekayaan adalah melalui perniagaan. Amat sukar bagi mereka yang kerja makan gaji mencapai kekayaan dengan cepat. Walaubagaimana pun, usah risau jikalau anda bekerja makan gaji. Pesan seorang kawan saya, jutawan Cina berbunyi: "Apa yang kita buat dari pukul 9.00-5.00 di pejabat adalah untuk menampung hidup kita... untuk menjadi kaya, ianya adalah apa yang kita buat selepas pukul 5.00 petang"

Terdapat berbagai-bagai cara memulakan perniagaan secara part-time dari membuka gerai dan berniaga kecil-kecilan, melakukan perniagaan di Internet, memberi tuisyen kepada pelajar, membuat jualan langsung dan sebagainya. Peluang perniagaan ada di merata-rata tempat. Anda cuma perlu peka dengan permintaan sesuatu produk ataupun perkhidmatan di sekeliling anda.

Walaubagaimanapun, untuk mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan, anda perlu menimba ilmu secukupnya. Anda tidak perlu mencipta cara berniaga baru- apa yang anda perlu lakukan adalah mengikuti jejak langkah mereka yang telah berjaya dalam sesuatu perniagaan tersebut. Dengan mengikuti jejak langkah mereka yang sudah berjaya, anda tidak akan tersasar dari jalan menuju kekayaan!

Salam cemerlang, sehingga berjumpa lagi


Irfan Khairi adalah penulis buku "Rahsia Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar" dan speaker dalam bidang membina kekayaan & kejayaan. Untuk Maklumat lanjut, sila lawati www.rahsiainternet.com dan www.irfankhairi.com